Showing posts with label Banjir. Show all posts
Showing posts with label Banjir. Show all posts

Wednesday, 18 December 2013

Kerajaan Terengganu peruntuk RM15 juta mangsa banjir


KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu hari ini bersetuju mengagihkan bantuan RM1,500 bagi setiap rumah mangsa yang tenggelam dan rosak teruk akibat bencana banjir baru-baru ini. 

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, berkata kerajaan negeri menganggarkan sebanyak 10,000 rumah di seluruh Terengganu ditenggelami air, bermakna bantuan melibatkan peruntukan RM15 juta. 


"Di daerah Kemaman sahaja misalnya dianggarkan 8,000 buah yang terlibat dengan banjir. Jadi kami anggarkan ia melibatkan peruntukan keseluruhan kira-kira RM15 juta," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di sini. 

Beliau berkata, sebanyak RM500 pula akan diagihkan kepada setiap keluarga yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan berdaftar semasa banjir melanda negeri itu bermula 2 Disember lalu. 

Menurutnya mangsa banjir juga turut menerima bantuan daripada kerajaan pusat masing-masing RM500 bagi setiap keluarga. 

Ahmad berkata bantuan akan diberi berdasarkan kepada senarai mangsa banjir yang diperoleh dari pusat-pusat pemindahan. Senarai itu akan disemak semula dengan pengesahan pegawai daerah. 

Katanya, bantuan akan disalurkan pada Januari selepas kerajaan negeri mempunyai senarai lengkap serta pengesahan yang diperlukan.
Selain itu, katanya, kerajaan juga bersetuju untuk mengagihkan bantuan pakaian sekolah sebanyak RM100 bagi seorang murid atau maksimum RM300 bagi keluarga yang mempunyai anak yang bersekolah melebihi seorang. 

"Kami bagi bantuan ini bagi meringankan sedikit beban mangsa kerana banjir yang berlaku baru-baru ini menjejaskan pendapatan mereka apabila harta benda musnah sama sekali," katanya. 

Ahmad turut berkata kerajaan negeri juga meluluskan pembayaran bonus pada 1 Januari depan untuk kakitangannya minimum sebanyak RM500 atau setengah bulan gaji sama seperti kakitangan awam yang diumumkan kerajaan pusat sebelum ini. 

- BERNAMA

Monday, 16 December 2013

BANJIR GELOMBANG KE 2! 3,252 polis Terengganu sedia hadapi gelombang kedua banjir

3,252 polis Terengganu sedia hadapi gelombang kedua banjir

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustafa

SETIU: Polis Kontinjen Terengganu bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan berlaku gelombang kedua banjir yang diramalkan berlaku dalam masa terdekat. 

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustafa berkata bagi melicinkan operasi penyelamat, seramai 3,252 pegawai dan anggota polis akan digerakkan bagi membantu mangsa banjir. 

Katanya, kerjasama dengan agensi yang lain juga akan terus dijalinkan agar kesemua operasi menyelamat dan pemindahan mangsa banjir berjalan lancar. 



"Kita sudah mengharungi bencana banjir gelombang pertama akhir bulan lalu dan kini bersedia untuk menghadapinya buat kali kedua dan pengalaman tempoh hari mengingatkan kita agar sentiasa berwaspada. 

"Bagi menghadapi gelombang kali ini, kita telah memperkemaskan segala peralatan termasuk logistik bagi kerja-kerja memindahan mangsa banjir dapat dilakukan dengan lebih teratur," katanya kepada pemberita di sini. 

Menurutnya selain itu pihaknya juga akan sentiasa melakukan rondaan di kawasan yang sering berisiko berlakunya bencana banjir seperti di daerah Kemaman dan Dungun. 

Jamshah turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa jika diminta untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat. 
"Berpindahlah apabila diarahkan, bertindak segera sekiranya telah diminta berbuat demikian kita tidak mahu perkara yang lepas berulang," katanya. 

Hampir 22,000 penduduk di Terengganu khasnya di Daerah Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Setiu terjejas akibat banjir gelombang pertama yang bermula, 2 Disember lepas. - BERNAMA 

Sumber : Berita Harian

Sunday, 15 December 2013

Tentera Darat siapkan jambatan kedua di Terengganu

Tentera Darat siapkan jambatan kedua di Terengganu



KUALA LUMPUR: Tentera Darat telah menyiapkan sebuah lagi jambatan yang sebelum ini mengalami runtuhan di kedua-dua arah akibat banjir di Kampung Kuala Kejil, Kuala Berang, Terengganu.
Jambatan taktikal jenis Compact Bailey 100 itu boleh digunakan orang ramai sejak 7 pagi tadi.

Pembinaan dan pemasangan jambatan itu melibatkan seorang pegawai dan 40 anggota lain-lain pangkat dari 7 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja.
"Jambatan taktikal itu telah diaturgerakkan dari Institut Kejuruteraan Medan Tentera Darat (IKEM), Kem Mahkota Kluang di Johor," menurut kenyataan Markas Tentera Darat di sini hari ini.

Ia berkata pembinaan jalan masuk dan tanjakan telah dilaksanakan dengan bantuan Jabatan Kerja Raya.

Ketika dihubungi, Pegawai Perhubungan Raya Markas Tentera Darat, Kapt Siti Aishah Noor berkata jambatan itu mula dibina pada 13 Disember.

Pasukan itu sebelum ini membina jambatan taktikal sepanjang 20 meter di bandar Chukai, Kemaman. - BERNAMA

Continue reading

Thursday, 12 December 2013

Wang bantuan RM500 diagih minggu depan

Wang bantuan RM500 diagih minggu depan

Datuk Seri Shahidan Kassim
Pekan: Wang bantuan RM500 kepada penduduk terjejas banjir dijangka mula diagihkan selewat-lewatnya hujung minggu depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.


Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) hanya menunggu senarai lengkap mangsa daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Jika JKM bagi senarai itu Isnin (16 Disember), pada Khamis kita boleh mula agihkan kepada penerima. Apa yang penting, penduduk terbabit banjir minggu lalu dan belum mendaftar, sila berbuat demikian segera supaya tiada yang tercicir daripada mendapat bantuan, katanya.


Shahidan berkata demikian selepas mengiringi Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom melawat mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, semalam. Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Kenal pasti jumlah mangsa


Sementara itu, Rohani berkata, JKM sedang mengemas kini data mangsa banjir bagi mengenal pasti jumlah sebenar mereka yang layak menerima bantuan, sekali gus mengelak pertindihan dan pelbagai masalah lain.


Kita kena tengok betul-betul perkara ini sebab dalam sebuah rumah tidak semestinya ada satu keluarga saja, katanya.


Di Johor Bahru, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abdul Latif Bandi, berkata kerajaan negeri akan membantu membaik pulih kediaman mangsa banjir yang rosak teruk dan kini dalam proses menilai jumlah kerugian ditanggung mangsa.


Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan peruntukan sewajarnya bagi menjayakan usaha ini. Kita bercadang menyalurkan bantuan tunai kepada mangsa selain yang disumbangkan Kerajaan Pusat, katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Smart Growth, semalam.

Sumber Berita Harian

Rabecca Derma Wang Saman Erma Fatima Kepada Mangsa Banjir



RABECCA DERMA WANG SAMAN ERMA FATIMAH KEPADA MANGSA BANJIR

Sumber OhArtis

Aktres Rabecca Nur Al-Islam telah membuat keputusan untuk mendermakan keseluruhan wang berjumlah RM11,200 yang diterima hasil memenangi saman daripada pengarah Erma Fatima kepada mangsa banjir di Kuantan, Pahang serta pihak yang lebih memerlukan.
BACA: 1) Selepas 5sen, Erma Fatima Bayar Saman Dengan 1 Ringgit Pula

2) Erma Fatima Bayar Rabecca RM11,200 Dengan Syiling 5 Sen


Sebelum ini, Erma telah membayar wang saman itu dengan wang syiling 5sen namun dikembalikan semula oleh Rabecca, setelah itu sekali lagi Erma membayar wang tuntutan itu tetapi menggunakan wang kertas 1 ringgit pula.
“Saya tidak tahu mengapa dia berbuat demikian, mungkin ini membuktikan dia masih tidak ikhlas mahu melakukan pembayaran mengikut arahan mahkamah. Bagaimanapun untuk tidak memanjangkan lagi kes ini, saya terima.
“Kini saya dalam perjalanan ke Kuantan untuk membantu mangsa-mangsa tragedi banjir di sana dengan menggunakan duit tersebut,” ujarnya yang telah membeli barang-barang seperti makanan dan keperluan harian asas.” jelas Rabecca.
Perang antara kedua selebriti ini bermula apabila Rabecca membuat tuntutan baki pembayaran hasil lakonannya dalam drama “Dejavu di Kinabalu” daripada syarikat produksi milik Erma Fatima. Kes itu dilanjutkan hingga ke mahkamah maka dengan itu mahkamah mengumumkan kemenangan berpihak kepada Rabecca dan Erma perlu membayar RM11,200 kepada Rabecca

Tuesday, 10 December 2013

Petani, penternak, nelayan terjejas akibat banjir bakal terima wang ehsan

Petani, penternak, nelayan terjejas akibat banjir bakal terima wang ehsan


KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan memberi sumbangan wang ehsan kepada petani, penternak, dan nelayan di negeri-negeri yang terjejas akibat bencana banjir. 

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) kementerian berkenaan, Datuk Raihan Sharif berkata Pertubuhan Peladang kini sedang membuat bancian bagi mendapatkan jumlah mereka yang terbabit. 

Katanya kementerian akan memastikan golongan petani, penternak dan nelayan yang terjejas akibat banjir diberi bantuan bagi meringankan beban mereka.


"Kita sedang mengumpul maklumat, dan apabila kita dapat anggaran, kita akan bawa ke Jemaah Menteri untuk mendapatkan peruntukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Perniagaan Koperasi Asean Kelima (ACBF) di sini hari ini.

Beliau sebelum itu membacakan teks ucapan menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Forum dua hari itu antara lain bertujuan mewujudkan interaksi, berbincang mengenai isu melibatkan pergerakan pertubuhan peladang di setiap negara anggota dan memberi peluang kepada usahawan pertanian mengembangkan perniagaan ke seluruh negara Asean.

Sebanyak lima negara Asean terlibat termasuk Filipina, Thailand, Laos, Kemboja dan Singapura.
Raihan berkata antara isu diketengahkan dalam forum itu ialah mekanisme meningkatkan kualiti pengeluaran produk pertanian dalam kalangan negara Asean bagi memastikan produk pertanian negara anggota memenuhi standard pemasaran antarabangsa.

"Jika kita boleh mewujudkan satu Asean Gap iaitu standard menentukan kualiti (produk) yang baik..., saya fikir kita kena bergerak ke arah itu kerana kita juga mahu barang pertanian dipasarkan bukan sahaja dalam negara Asean tetapi juga di pasaran dunia," katanya.

Katanya negara anggota diharap dapat mencapai persetujuan ke arah penguatkuasaan Skim Amalan Ladang Baik seperti yang diamalkan Malaysia melalui skim MyGap. - BERNAMA 

Sumber BERITA HARIAN

Monday, 9 December 2013

Keadaan cuaca di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor dijangka bertambah baik esok

Keadaan cuaca di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor dijangka bertambah baik esok



KUALA LUMPUR: Keadaan cuaca di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor dijangka bertambah baik esok berikutan hujan diramal berlaku hanya di beberapa kawasan sahaja di negeri berkenaan.
Ketua Penolong Pengarah Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) Amirzudi Hashim berkata di Kelantan dan Terengganu, hujan dijangka berlaku di satu dua tempat pada sebelah pagi hingga malam. 
"Biarpun hujan, ia adalah hujan yang normal, bukan hujan berlarutan atau berterusan seperti yang dilaporkan media sebelum ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini. 


Beliau berkata di Pahang, hujan dijangka berlaku di kawasan pantai pada sebelah pagi manakala pada petang dan malam, hujan diramalkan di satu dua tempat sahaja. 

Di Johor pula, hujan diramal berlaku di kawasan pantai pada sebelah pagi dan ribut petir pada petang selain berkemungkinan hujan di satu dua tempat pada sebelah malam, katanya. 

Sementara itu, Pengarah Pusat Cuaca Nasional JMM Muhammad Helmi Abdullah berkata pihaknya sedang mengumpul data berhubung taburan hujan kali ini di seluruh negara. 

Ditanya sama ada taburan hujan kali ini adalah luar biasa sehingga menyebabkan banjir teruk terutamanya di Pahang dan Terengganu, beliau berkata pihaknya perlu melihat hasil pengumpulan data itu. 
"Untuk mengira taburan hujan, ia bukan mengambil kira daripada lihat kepada keadaan banjir yang besar tetapi Jabatan Meteorologi perlu lihat kuantiti air hujan yang turun dan membuat perbandingan dengan tahun-tahun lepas. 

"Saya akui hujan (kali ini) memang lebat, tetapi setahu saya pernah ada taburan hujan yang lebih tinggi lagi sebelum ini, jadi tidak boleh kata (hujan) luar biasa," katanya. - BERNAMA 

Sumber : Berita Harian

Banjir di tiga negeri semakin surut

Banjir di tiga negeri semakin surut

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Trengganu, Johor dan Pahang semakin pulih dengan semakin ramai mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah manakala beberapa jalan utama boleh dilalui kenderaan, setakat 5 petang ini.

Di Terengganu, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri melaporkan beberapa jalan utama iaitu Kuala Terengganu-Kuantan dan Lebuhraya Jerangau-Jabor serta jalan pantai kini dibuka kepada semua kenderaan.

Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri (JPS) Terengganu melaporkan paras air di semua sungai utama di negeri itu juga berada di bawah paras amaran.


Jumlah mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan di negeri itu kian berkurangan kepada 15,876 orang berbanding 22,617 orang pagi tadi.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN), mereka terdiri daripada 3,475 keluarga yang berada di 45 pusat pemindahan di Dungun, Kemaman, Kuala Terengganu dan Marang.

Di Kemaman, 7,534 orang pulang ke rumah masing-masing dengan hanya 13,335 sahaja yang masih tinggal di pusat-pusat pemindahan manakala di Dungun jumlah mangsa turut berkurangan kepada 2,512 orang berbanding 2,719 orang pagi tadi.

Di Kuala Terengganu seramai enam orang mangsa terdiri daripada satu keluarga masih ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Felda Belara manakala di Marang, hanya 23 orang daripada lapan keluarga masih berada di Sekolah Kebangsaan Pasir Puteh.
Di JOHOR, hanya tujuh pusat pemindahan banjir yang masih dibuka di Segamat petang ini bagi menempatkan 449 orang daripada 114 keluarga.

Pusat pemindahan tersebut ialah Balai Raya Kampung Sanglang, Balai Raya Kampung Tandong, SK Kampung Spang Loi, Balai Raya Gemereh IV (Batu Badak), Balai Raya Kampung Gemereh III, Balai Raya Pogoh 2 dan Sekolah Agama Kampung Kuala Paya.

Sementara itu, pusat pemindahan di Balai Raya Linau Kechil di Batu Pahat dan Balai Raya Parit Stan di Pontian yang dibuka pagi hari ini telah ditutup dan kesemua mangsa banjir dibenarkan pulang.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan berkurangan kepada 32,189 orang, manakala kesemua tujuh pusat pemindahan yang menempatkan 137 mangsa banjir di daerah Raub telah ditutup tengah hari tadi.

"Sehingga 5 petang tadi, seramai 32,189 mangsa banjir yang terdiri daripada 9,879 keluarga masih ditempatkan di 132 pusat pemindahan di lapan daerah yang terjejas banjir," kata jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang ketika dihubungi Bernama.

Kuantan masih menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 26,397 orang di 34 pusat pemindahan.

Di Pekan, masih terdapat 3,182 mangsa di 34 pusat pemindahan, Temerloh (1,049 orang di 23 pusat pemindahan), Maran (839 di 17 pusat), Jerantut (456 di 10 pusat), Bera (170 di tujuh pusat), Lipis (60 di lima pusat) dan Rompin (36 di dua pusat).

Sementara itu, beberapa jalan utama masih ditutup kepada semua kenderaan antaranya di Km14, Jalan Temerloh-Bahau dan Jalan Jerantut-Kuala Lipis (Kampung Sepial).

- BERNAMA


Sumber BERITA HARIAN

Wednesday, 4 December 2013

Mangsa banjir di Johor meningkat kepada 8,250 orang

Mangsa banjir di Johor meningkat kepada 8,250 orang


JOHOR BAHRU 4 Dis. - Jumlah mangsa banjir terkini di seluruh negeri ini meningkat kepada 8,250 orang membabitkan 2,240 keluarga sehingga pukul 3 petang ini berbanding 7,412 yang dilaporkan pukul 12 tengah hari tadi.

Mersing masih berada di kedudukan teratas dengan 5,694 mangsa, diikuti Segamat (1,081); Kluang (975); Muar (217); Kota Tinggi (212) dan Batu Pahat (71).

Bagaimanapun, tiada sebarang kematian atau sebarang kejadian yang tidak diingini direkodkan dan proses pemindahan berjalan tanpa sebarang masalah.

Sebanyak 57 pusat pemindahan kini telah dibuka berbanding 49 pada tengah hari tadi termasuk Mersing (21), Segamat (18), Kluang (11), Kota Tinggi dan Batu Pahat (tiga) serta Muar (satu). 




BANJIR! Keluarga yang sering terjejas akibat banjir di Mersing dipindahkan ke penempatan baru

BANJIR! Keluarga yang sering terjejas akibat banjir di Mersing dipindahkan ke penempatan baru

Datuk Abdul Latiff Bandi 


MERSING: Kerajaan negeri Johor akan memindahkan lebih 500 keluarga yang sering terjejas akibat banjir di daerah ini ke beberapa kawasan petempatan baharu dalam tempoh lima tahun. 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Abdul Latiff Bandi berkata beberapa lokasi untuk pembinaan petempatan baharu yang akan dijadikan kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) itu sudah dikenal pasti melalui jawatankuasa perumahan khas. 


Antara lokasi yang dikenal pasti ialah Batu 6 Tenglu, Kampung Sri Pantai, Jalan Ariffin dan Semaloi yang terletak berhampiran bandar Mersing dan Endau," katanya kepada pemberita di pusat pemindahan banjir Sekolah Kebangsaan Bandar Mersing, di sini hari ini. 


Abdul Latiff berkata kebanyakan rumah yang dinaiki air pada musim banjir terdiri daripada kawasan setinggan yang terletak di kawasan rendah dan penduduk di situ akan dipindahkan ke lokasi petempatan baharu berkenaan. 

Beliau berkata selain ia merupakan usaha kerajaan negeri untuk mengatasi masalah yang dihadapi penduduk di kawasan Mersing dan Endau, langkah itu juga ialah untuk membasmi masalah setinggan. 

Terdahulu, Abdul Latiff yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Endau meluangkan masa kira-kira sejam melawat mangsa banjir di sekolah berkenaan yang menempatkan sebanyak 1,491 penduduk. 

Katanya secara keseluruhannya, Mersing mempunyai 25 pusat pemindahan banjir dan pada waktu ini 21 buah digunakan. 
"Masih terdapat penduduk di beberapa kampung di sini yang enggan berpindah dengan alasan rumah mereka belum dinaiki air. Hal ini akan dipantau sepenuhnya bagi mengelakkan berlakunya kemalangan jiwa," katanya. - BERNAMA 

Sumber : Berita harian

Tuesday, 3 December 2013

Banjir makin teruk

Banjir makin teruk

Foto
MANGSA banjir dari Kampung Batu 13 Simpang Pelabuhan, Kuantan yang ditempatkan di Dewan Orang Ramai Balok. FOTO Khairulmizan Yahya


KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Terengganu, Pahang dan Johor semakin buruk petang ini dengan kebanyakan kawasan rendah terus dinaiki air berikutan hujan sejak semalam.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, seorang kanak-kanak (masih belum diketahui jantinanya) pula dikhuatiri hilang di Kijal akibat limpahan air pasang besar.

Di KUALA TERENGGANU, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 905 orang berbanding 452 orang pagi ini apabila Dungun dan Hulu Terengganu pula dilanda banjir petang ini.


Portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyatakan setakat 4 petang ini Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu dilanda banjir dengan Kemaman mencatat peningkatan mangsa yang dipindahkan.

Di Kemaman 761 orang daripada 195 keluarga dipindahkan ke 24 pusat pemindahan berbanding pada sebelah pagi hanya 13 pusat dibuka dengan 452 mangsa banjir.

Di Hulu Terengganu, 94 mangsa daripada 18 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sejak 2 petang manakala di Dungun, 50 orang daripada 12 keluarga dipindahkan sejak 12 tengah hari.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri melaporkan bacaan pada 4 petang menunjukkan paras air di Pasir Raja dan Kuala Jengai di Dungun melebihi paras bahaya masing-masing setinggi 37.84m dan 23.21m.

Sungai Kuala Berang, di Kampung Menerong di Hulu Terengganu juga melebihi paras bahaya iaitu setinggi 25.13m (bahaya 24.5m) manakala Sungai Kemaman pula, Sungai Cerol di Banho dan Jambatan Air Putih berada dalam kedudukan bahaya iaitu masing-masing setinggi 19.78m dan 15.06m.

Di KUANTAN, sebanyak 5,561 mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Kuantan, Pekan, Rompin dan Maran setakat 3 petang.

Bandar Kuantan juga dilaporkan hampir lumpuh apabila kebanyakan laluan jalan raya di sekitar bandar itu dinaiki air melebihi 1 meter.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata Rompin mencatatkan jumlah pemindahan banjir paling ramai iaitu 2,595 orang dari 23 kampung dan ditempatkan di 13 pusat pemindahan di daerah itu.

Di Pekan, 341 mangsa dari enam kampung dipindahkan ke enam pusat pemindahan manakala di Kuantan 1,824 mangsa dari 23 kampung dipindahkan ke 23 pusat pemindahan.

Di Maran, 801 mangsa banjir dari sembilan kampung ditempatkan di tujuh pusat pemindahan.

Beliau berkata keadaan banjir dijangka bertambah buruk berikutan hujan lebat masih berterusan sehingga kini.

"Jambatan Sungai Charu di Km28 Jalan Sungai Lembing-Kuantan ditutup kepada semua kenderaan berikutan air naik melebihi satu meter," kata jurucakap itu.

Beberapa jalan lain juga kini ditutup kepada kenderaan ringan berikutan kawasan berkenaan dinaiki air antara 0.5 hingga 1 meter termasuk Batu 3 Jalan Kuantan–Gambang, Km16 Jalan Pekan–Nenasi, Km9 Jalan Pekan–Nenasi dan Km64 Jalan Maran–Jerantut.

Jerantut menjadi daerah terbaru dilanda banjir di negeri itu apabila 62 orang daripada 12 keluarga dipindahkan ke lokasi selamat.

Di JOHOR BAHARU, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan petang ini meningkat kepada 5,659 orang berbanding 4,765 orang pagi ini.

Setakat 3 petang, Segamat mencatatkan mangsa banjir tertinggi yang dipindahkan iaitu 1,116 orang, mangsa banjir di Kluang juga meningkat iaitu 187 orang manakala di Kota Tinggi meningkat kepada 74 orang.

Portal MKN menyatakan Muar menjadi daerah terbaharu yang memindahkan mangsa banjir iaitu 35 orang manakala jumlah mangsa di Mersing kekal 4,247 orang.

Sebanyak 42 pusat perpindahan dibuka berbanding 27 pusat pada sebelah pagi iaitu 18 di Mersing (kekal), 18 di Segamat (meningkat 12), tiga di Kluang (meningkat satu), dua di Kota Tinggi (meningkat satu) dan sebuah pusat dibuka di Muar.

Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca hujan sekejap-sekejap di satu dua tempat di Mersing dan Segamat manakala ribut petir di satu dua tempat di Kluang dan Kota Tinggi hari tadi.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/03
Sumber MyMetro

Monday, 2 December 2013

BANJIR : LEBIH 1000 PENDUDUK MERSING DIPINDAHKAN

BANJIR : LEBIH 1000 PENDUDUK MERSING DIPINDAHKAN






JOHOR BAHRU: Bilangan penduduk yang terjejas akibat banjir di daerah Mersing semakin meningkat apabila 1,035 orang membabitkan 306 keluarga dipindahkan ke sebelas pusat pemindahan, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Zulkifli Hashim berkata sehingga 10 malam, kesemua mangsa terjejas membabitkan penduduk di 16 kawasan iaitu Kampung Air Tawar, Kampung Lubuk, Felcra Sri Mahkota Endau, Semaloi dan Kampung Bukit Pasir.


Turut terjejas Kampung Tenglu Besar, Kampung Air Papan, Kampung Orang Asli
Labung, Kampung Peta, Kampung Air Merah, Kampung Wak Salam, Jalan Sekakap,
Kampung Che Wok, Kampung Sawah Datuk, Kampung Makam dan Kampung Paya Tunggal,

katanya ketika dihubungi.
Zulkifli berkata, hujan masih renyai di sekitar Mersing dan keadaan
air pasang pada 9.30 malam menyebabkan paras air meningkat setinggi 3.3
meter.

Beliau berkata, laluan di KM7 Jalan Nitar-Mersing, KM32 dan KM35 Jalan
Mersing-Kota Tinggi kini hanya boleh dilalui kenderaan berat.

Katanya, bilik gerakan banjir daerah itu sedang memantau perkembangan banjir
setiap masa manakala pasukan penyelamat yang membabitkan pelbagai agensi sedang
giat memindahkan penduduk ke kawasan selamat. - Bernama


Sumber : MyMetro
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...