Dua tahun lalu, mungkin kelibat Raja Ilya Raja Mohamad begitu asing di mata jejaka kita. Tetapi kini, wanita berumur 28 tahun ini sedang rancak mengalami revolusi kerjaya; satu persatu watak lakonannya mencipta impak, walau sekecil mana peranan dalam siri drama yang dibintanginya!

Rautnya memotretkan darah Melayu, Malayalam dan Arab yang dikandung dalam tubuh. Eksotik wajah dan bakat besarnya adalah variasi baru untuk industri hiburan Melayu, dan kita tagihkan itu dalam deretan pretty faces yang hanya menjaja fizikal semata-mata. Sejarah silam menjadi mantera kebangkitan untuk Raja Ilya meraih gelaran 'the new face of TV'! SEROJA meraikan kejayaan ini sambil mencari justifikasi tentang erti cinta, kerjaya dan rahsia keanggunan bekas pramugari Malaysia Airlines ini.

Apa itu cinta?

Sejujurnya, saya bukanlah orang yang tepat untuk menterjemahkan pengertian cinta. Malah saya pernah keliru tentang tujuan cinta. Begitu banyak kegembiraan yang saya lalui kerana cinta, begitu banyak juga penderitaan yang saya lalui kerana kata yang satu ini.


Sebagai selebriti, saya tak nafikan banyak kali hati saya cuba disinggahi pelbagai jenis lelaki. Tapi saya belajar dari pengalaman dulu; hati saya umpama sudah tertutup untuk cinta. Cukuplah saya dapat meraikan hidup seadanya dan berseronok dengan keadaan diri. Saya tak mahu lagi jatuh cinta bila akhirnya saya mengetahui lelaki itu tidak jujur menyintai dan episod hitam yang sama berulang lagi. Cinta. Kalaulah definisi kata ini semudah ungkapan. Ah, alangkah ringkasnya hidup tanpa perasaan!

Lelaki di hati anda?

Belum ada sesiapa buat waktu ini. Saya mahu perlahan-lahan membina cinta. Saya seorang wanita yang berdikari dan punya prinsip serta kemahuan sendiri. Andai saya bercinta lagi suatu hari nanti, si dia perlu complement semua ini. Biarlah dia jadi seorang kekasih yang reti mengambil hati dan sentiasa pandai membuatkan saya ketawa.

Saya membesar tanpa kehadiran lelaki. Ibu adalah seorang ibu tunggal dan saya tiada pula punya adik-beradik lelaki. So I guess for me to live another minute without a man beside me will not hurt.


Idola lelaki anda?

Tun Dr Mahathir Mohamad. Semasa saya berkelana di Seattle, orang di sana banyak mengenali Malaysia sebagai 'The Mahathir’s Country'. Hebat sekali pesona negarawan itu, ya?

Cantik punya definisi subjektif. Apa kata anda?

Benar, ia memang subjektif. Saya mungkin dianggap cantik oleh anda tapi biasa-biasa saja oleh segelintir yang lain. Ramai bertanya bagaimana saya melawan stereotaip yang mengaitkan istilah cantik dengan kulit putih melepak. Begitupun saya percaya ada beberapa kriteria yang mesti wanita angkat sebagai the universal standard of beauty.

Antaranya, kulit wajah yang sihat dan tubuh badan yang cergas. Tak semestinya kurus tapi fit! Saya sendiri cuba meluangkan masa untuk melakukan 100 hingga 200 kali senaman squat sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Senaman ini baik untuk betis dan peha selain menghilangkan selulit.


Natural beauty vs. cosmetic beauty.

Pembedahan kosmetik adalah prosedur yang mampu mencipta magis. Bagi saya, ia adalah hak individu seperti mana hak sesiapa saja untuk kelihatan cantik dan menawan. Sesetengah bidang kerjaya mahukan pemainnya tampil cantik dan anggun, dan bagi saya pembedahan kosmetik adalah satu pilihan yang boleh dipertimbangkan. Di Hollywood misalnya, 90% artis lelaki dan wanita melakukan prosedur ini. Ini kerana mereka sedar industri yang diceburi memerlukan mereka menjual wajah dan fizikal sempurna. Pilihan lain termasuklah pengambilan supplement dan minuman kecantikan.

Saya melihat potensi pasaran produk kecantikan tempatan yang melonjak naik ketika ini sebagai peluang untuk mengembangkan sayap kerjaya. Jadi, saya bersama kakak kesayangan terbang ke Jepun mencari bahan-bahan ideal untuk diperkenalkan kepada pasaran tanahair.

Hasilnya, kami membawakan Diamond, satu minuman kecantikan yang berfungsi melembapkan kulit, menghilangkan cela dan menyerlahkan kulit kusam. Perancangan teliti telah dilakukan dan alhamdulillah, produk ini telah mendapat kelulusan dari badan berwajib. Tak sabar rasanya untuk berkongsi permata hati baru saya ini selewatnya awal tahun hadapan.


Wanita perlu pandai menjaga keselamatan sendiri. Setuju?

Kaum wanita sering jadi sasaran aktiviti jenayah. Entah mana silapnya kami sering dianggap sebagai kaum yang lemah. Saya menyeru kaum hawa bersama saya siap-siagakan diri untuk mempertahankan diri saat berdepan musibah.

Hadirilah kelas pertahanan diri dan simpan juga barangan kecemasan di dalam beg tangan. Ini kerana kita tidak tahu siapa sebenarnya penjenayah dalam kalangan kita. Mahu tidak mahu, kita perlu mengakui hakikat bahawa tembak-menembak, samun, ragut, rogol dan pembunuhan memang terjadi di sekeliling kita sehari-hari.

Gaya anda saat liburan di hari minggu.

Saya sukakan gaya ranggi kerana saya mahu nampak muda dan riang ria! Koleksi Raffiey Nasir sangat cocok dengan personaliti saya. Bila tidak berjalan di karpet merah, sepersalinan dress mini dan sandal buatkan saya selesa; and I’m not a fan of T-shirt and jeans. Biarlah nampak ringkas tapi classy.


Untuk itu, saya banyak berbelanja di Forever 21 dan Babe. Zara dan H&M pula punya seleksi pakaian harian yang trendy dan hip pada harga yang berpatutan. Untuk kasut, saya gemarkan rekaan sandal yang sarat dengan sinaran manik. Gedung Aldo dan Charles & Keith sering jadi destinasi utama saya bila mencari sepatu.

Saya jadi sedikit cerewet bila sampai bab dandanan. Wanita memang maklum akan fungsi solekan dalam menyerlahkan aset-aset istimewa pada wajah. Untuk saya, selepas aplikasi bedak asas warna tanah dari Sephora, saya suka berikan penekanan pada kawasan mata melalui aplikasi maskara tebal dan bibir dengan pilihan gincu merah menyala seperti MAC Russian Red kegemaran saya!

Anda mampu berbahasa Tamil dengan fasih sekali.

Ya! Dan saya sangat bersyukur dengan kurniaan ini. Ia telah membawa saya jauh ke India dan terlibat dengan produksi-produksi antarabangsa. Malah, wajah saya pernah menghiasi iklan TV komersial syampu Clear untuk pasaran sana.


Saya anggap ini kelebihan yang dipunyai bila kita menguasai lebih dari satu bahasa. Bersama bakat, sempadan negara bukan lagi halangan untuk sesiapa sahaja membina nama di luar tanahair mereka. Lihat saja Datuk Michelle Yeoh yang gah namanya di Hong Kong dan Hollywood!

Saya dibesarkan di Ipoh dan Taiping, Perak, dan sesiapa sahaja yang tinggal di situ tahu bagaimana masyarakat berbilang kaum hidup begitu aman damai bersama. Saya lihat masyarakat Cina jadi gembira sangat bila ada bangsa lain yang pandai berkomunikasi dalam bahasa mereka, dan bagaimana mereka akan melayan orang itu bagaikan saudara sendiri. Saya kira ini falsafah sama yang digunakan dalam industri hiburan. Kita semua akan mencari titik persamaan untuk mencipta perkaitan dengan orang yang baru kita kenali, kan?

Penyelaras: 
Kamaruddin Razal
Dandanan: 
Sahir Sabri (01116012617)
Busana:
 AzuraAzwa (TTDI, Kuala Lumpur)

Gambar-gambar Raja Ilya Sebelum Ini