Monday 9 December 2013

Keadaan cuaca di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor dijangka bertambah baik esok

Keadaan cuaca di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor dijangka bertambah baik esok



KUALA LUMPUR: Keadaan cuaca di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor dijangka bertambah baik esok berikutan hujan diramal berlaku hanya di beberapa kawasan sahaja di negeri berkenaan.
Ketua Penolong Pengarah Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) Amirzudi Hashim berkata di Kelantan dan Terengganu, hujan dijangka berlaku di satu dua tempat pada sebelah pagi hingga malam. 
"Biarpun hujan, ia adalah hujan yang normal, bukan hujan berlarutan atau berterusan seperti yang dilaporkan media sebelum ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini. 


Beliau berkata di Pahang, hujan dijangka berlaku di kawasan pantai pada sebelah pagi manakala pada petang dan malam, hujan diramalkan di satu dua tempat sahaja. 

Di Johor pula, hujan diramal berlaku di kawasan pantai pada sebelah pagi dan ribut petir pada petang selain berkemungkinan hujan di satu dua tempat pada sebelah malam, katanya. 

Sementara itu, Pengarah Pusat Cuaca Nasional JMM Muhammad Helmi Abdullah berkata pihaknya sedang mengumpul data berhubung taburan hujan kali ini di seluruh negara. 

Ditanya sama ada taburan hujan kali ini adalah luar biasa sehingga menyebabkan banjir teruk terutamanya di Pahang dan Terengganu, beliau berkata pihaknya perlu melihat hasil pengumpulan data itu. 
"Untuk mengira taburan hujan, ia bukan mengambil kira daripada lihat kepada keadaan banjir yang besar tetapi Jabatan Meteorologi perlu lihat kuantiti air hujan yang turun dan membuat perbandingan dengan tahun-tahun lepas. 

"Saya akui hujan (kali ini) memang lebat, tetapi setahu saya pernah ada taburan hujan yang lebih tinggi lagi sebelum ini, jadi tidak boleh kata (hujan) luar biasa," katanya. - BERNAMA 

Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...