Monday 16 December 2013

BANJIR GELOMBANG KE 2! 3,252 polis Terengganu sedia hadapi gelombang kedua banjir

3,252 polis Terengganu sedia hadapi gelombang kedua banjir

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustafa

SETIU: Polis Kontinjen Terengganu bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan berlaku gelombang kedua banjir yang diramalkan berlaku dalam masa terdekat. 

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustafa berkata bagi melicinkan operasi penyelamat, seramai 3,252 pegawai dan anggota polis akan digerakkan bagi membantu mangsa banjir. 

Katanya, kerjasama dengan agensi yang lain juga akan terus dijalinkan agar kesemua operasi menyelamat dan pemindahan mangsa banjir berjalan lancar. 



"Kita sudah mengharungi bencana banjir gelombang pertama akhir bulan lalu dan kini bersedia untuk menghadapinya buat kali kedua dan pengalaman tempoh hari mengingatkan kita agar sentiasa berwaspada. 

"Bagi menghadapi gelombang kali ini, kita telah memperkemaskan segala peralatan termasuk logistik bagi kerja-kerja memindahan mangsa banjir dapat dilakukan dengan lebih teratur," katanya kepada pemberita di sini. 

Menurutnya selain itu pihaknya juga akan sentiasa melakukan rondaan di kawasan yang sering berisiko berlakunya bencana banjir seperti di daerah Kemaman dan Dungun. 

Jamshah turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa jika diminta untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat. 
"Berpindahlah apabila diarahkan, bertindak segera sekiranya telah diminta berbuat demikian kita tidak mahu perkara yang lepas berulang," katanya. 

Hampir 22,000 penduduk di Terengganu khasnya di Daerah Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Setiu terjejas akibat banjir gelombang pertama yang bermula, 2 Disember lepas. - BERNAMA 

Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...