Sunday, 1 December 2013

UiTM Universiti Diraja Dibentang

UiTM Universiti Diraja Dibentang


 
Kuala Lumpur: Pengisytiharan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai Universiti Diraja antara perkara dicadang dibentang dan dibahas pada Perhimpunan Agung UMNO 2013.

Cadangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) itu mahukan UiTM dinaungi Majlis Raja-Raja bagi memastikan peranan universiti itu tidak lagi dipertikai mana-mana parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


Timbalan Presiden GPMS, Ezaruddin Abd Rahman, berkata apabila UiTM diletakkan di bawah satu bidang kuasa yang kukuh, usaha memperkasa Bumiputera dalam bidang pendidikan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Perkara ini perlu diberi perhatian kerana UMNO sebagai parti tonggak orang Melayu perlu memenuhi amanat untuk meningkatkan tahap pendidikan bangsa Melayu,” katanya.

GPMS antara NGO, golongan profesional dan pihak berkepentingan Melayu yang turut mengambil bahagian dalam memberi input berhubung usul yang akan dibahas anggota perwakilan pada perhimpunan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mulai hari ini hingga Sabtu.

Ezaruddin berkata, GPMS turut mencadangkan supaya peranan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dikembalikan dalam soal memberi bantuan kewangan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), seperti sebelum wujudnya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).

Kaji bebanan tugas guru

Selain itu, GPMS mahu kajian bebanan tugas guru dibuat kerana wujud dakwaan ramai guru tidak dapat memberi fokus untuk mengajar kerana dibelenggu tugas pentadbiran.

Mengulas tindakan UMNO yang julung kali membuka pintu kepada pihak luar untuk membincangkan usul perhimpunan agung parti itu, beliau berkata sikap inklusif itu membuktikan UMNO serius mendengar suara hati rakyat pada peringkat akar umbi.

Sementara itu, Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) mengusulkan supaya pelajar sekolah kebangsaan mendapat peluang untuk memilih antara aliran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Cambridge O-Levels, seperti yang ditawarkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pengerusi PAGE, Datin Noor Azimah Abdul Rahim, berkata isu itu perlu dibentang dan dibahas di atas pentas UMNO bagi memastikan bangsa Melayu mencapai kesamarataan dalam pergerakan sosial serta mampu mendepani cabaran global.


Sumber : BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...