Sunday, 1 December 2013

Tiga Wakil Mahasiswa Dibenar Sertai Bahas

Tiga Wakil Mahasiswa Dibenar Sertai Bahas


 
Kuala Lumpur: Buat julung kalinya, tiga wakil mahasiswa akan diberi peluang berucap membahaskan usul pada Perhimpunan Agung UMNO, tahun ini.

Dua wakil akan membahaskan usul berkenaan pada perhimpunan sayap pemuda dan puteri, manakala seorang lagi pada perhimpunan agung.

Pengerusi Biro Institut Pengajian Tinggi (IPT) UMNO, Datuk Razali Ibrahim, berkata perkara itu sudah mendapat persetujuan Setiausaha Agung parti dan Ahli Majlis Tertinggi (MT).
Semua usul ini nanti dikaji, kemudian (tiga) wakil (mahasiswa) itu akan membahaskannya pada mesyuarat berkenaan” Razali Ibrahim, Pengerusi Biro IPT UMNO

Katanya, satu jawatankuasa kecil akan dibentuk pada peringkat biro itu bagi memilih wakil mahasiswa, selain mengkaji usul sesuai dibawa ke perhimpunan agung dan persidangan sayap.

“Hari ini (semalam), kita menerima 36 usul daripada mahasiswa menerusi Persidangan Mahasiswa Nasional (PEMANAS 2013). Ia membabitkan usul ekonomi, politik, pendidikan dan agama.

Kaji usul

“Semua usul ini nanti dikaji, kemudian (tiga) wakil (mahasiswa) yang dipertanggungjawabkan itu akan membahaskannya pada mesyuarat berkenaan (perhimpunan agung, puteri dan pemuda),” katanya di sini, semalam.
Sebelum ini, hanya seorang wakil mahasiswa diberi peluang membahaskan usul ketika perhimpunan agung iaitu wakil kelab UMNO luar negara.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Mas Ermieyati Samsudin, berkata wakil mahasiswa bertindak sebagai ‘suara pelajar’ dengan mengutarakan hasrat dan keinginan golongan terbabit, sekali gus akan dibawa kepada perhatian kerajaan.

Katanya, mahasiswa terbabit terdiri daripada setiap wakil institut pengajian tinggi awam yang dipilih oleh jawatankuasa pendidikan parti.

“Tahun ini, kita bawa satu kelainan bagi mendapatkan usul yang mantap dan mapan, bukan saja yang dihujahkan oleh wakil setiap negeri, malah daripada kalangan mahasiswa juga. Bagaimanapun, jumlah sebenar wakil masih belum dapat diputuskan.

“Kita mahu perhimpunan kali ini menjadi medium tepat untuk setiap lapisan perwakilan menyampaikan hasrat yang mereka inginkan dalam UMNO tanpa mengetepikan golongan pelajar,” katanya kepada BH.

Sumber : BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...