Tuesday, 3 December 2013

Tiada tembok pemisah antara UMNO dengan pertubuhan Islam lain - Muhyiddin

Tiada tembok pemisah antara UMNO dengan pertubuhan Islam lain - Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pemimpin kanan UMNO dan perwakilan mengaminkan bacaan doa sebelum berucap merasmikan persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO di PWTC, malam ini. - Foto Khairul Azry Bidin


KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, UMNO sebagai parti yang memperjuangkan Islam tidak sepatutnya ada tembok pemisah dengan pertubuhan Islam lain untuk membentuk kerjasama dan perpaduan lebih jitu berasaskan semangat persaudaraan di dalam Islam.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, tugas utama parti berkenaan kini adalah untuk memastikan perpaduan ummah sentiasa terpelihara. 


"Untuk itu, UMNO akan terus berganding bahu dengan pertubuhan-pertubuhan Melayu dan Islam untuk mempelopori usaha penyatuan ummah dalam ertikata yang sebenar. 

"Pintu UMNO sentiasa terbuka luas untuk menyahut seruan perpaduan dan kerjasama dengan semua pertubuhan Melayu dan Islam. Inilah yang menjadi harapan umat Melayu dan Islam di negara kita.

"Mereka yang mahu melihat perpaduan ummah yang lebih jitu terbina kerana dengan perpaduanlah kepentingan Islam akan sentiasa dapat dibela," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2013 dengan tema `Menyambung Risalah Perjuangan Suci' di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, perpaduan ummah menjadi lebih penting ketika umat Islam di seluruh dunia sedang menghadapi pelbagai cabaran dan bukan sahaja dilanda krisis dan pertumpahan darah, malah diasak dengan pelbagai serangan minda dan jiwa.

"Kononnya atas nama globalisasi, hak asasi dan demokrasi, umat Islam dipaksa menerima konsep kebebasan individu tanpa batas, mengiktiraf perkahwinan sejenis, perkahwinan berlainan agama, hak untuk murtad, amalam ajaran sesat, gaya hidup gay dan lesbian serta pelbagai budaya songsang yang lain. 
"Malah, dalam dunia hari ini, prinsip kebebasan individu yang tidak berteraskan nilai agama dan budaya dijadikan penandaaras moral di peringkat global," katanya.

Selain itu, katanya, jika dipenuhi kesemua tuntutan hak asasi tanpa batas itu, kesucian institusi keluarga sudah tidak dapat dipertahankan lagi dan malah, keruntuhan institusi keluarga dan akhlak insan pasti terjadi.

Beliau berkata, Deklarasi Kaherah Mengenai Hak Asasi Manusia Dalam Islam yang diisytiharkan semasa Persidangan Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 1990 mengiktiraf institusi keluarga sebagai tiang seri masyarakat dan perkahwinan yang sah sebagai asas pembentukannya.

"Keselamatan akidah umat Islam juga dipelihara dengan tidak mengiktiraf kesalahan murtad sebagai suatu hak. Kandungan Deklarasi Kaherah ini perlu dijadikan panduan oleh negara-negara Islam dalam menghadapi kumpulan hak asasi manusia yang mendesak supaya umat Islam mengiktiraf hak-hak yang bercanggah dengan prinsip Islam," katanya.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...