Monday 2 December 2013

DUA PENGIKUT 'TUHAN HARUN' DITANGKAP, POLIS BURU 8 LAGI

DUA PENGIKUT 'TUHAN HARUN' DITANGKAP, POLIS BURU 8 LAGI





KOTA KINABALU: Dua pengikut ajaran Tuhan Harun yang cuba menyembunyikan diri dengan lari ke Sabah gagal apabila dicekup dalam Ops Cantas Khas di Kampung Tagasan, dekat Semporna, kira-kira 1 petang tadi.

Kedua-dua suspek berusia 29 dan 37 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dan IPD Tawau.

Difahamkan, seorang daripada suspek berasal dari Bukit Beruang, Melaka, manakala seorang lagi dari Muar, Johor. Mereka kemudian dibawa ke IPD Semporna untuk siasatan lanjut.

Serbuan itu dilakukan susulan maklumat awam dan risikan selepas mereka dipercayai bersembunyi di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.

Hasil kejayaan penahanan kedua-dua suspek terbabit, polis kini sedang memburu lapan lagi pengikut ajaran sesat berkenaan yang dipercayai masih bersembunyi dan enggan menyerah diri.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, menerusi laman twitter lewat petang tadi, mengesahkan penahanan kedua-dua suspek.

Sabtu lalu, Khalid dalam sidang medianya di sini, berkata 10 lagi pengikut ajaran sesat Tuhan Harun kini diburu polis, bagi melengkapkan siasatan pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abd Malek yang ditembak pada 10 November lalu.

Khalid dipetik berkata, walaupun individu penting kumpulan itu termasuk ketuanya, Harun Mat Saat sudah ditahan, saki baki ahli ajaran sesat itu masih dikehendaki bagi melengkapkan siasatan.

Dalam serbuan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sepanjang minggu lalu, polis menahan 10 pengikut ajaran sesat itu termasuk seorang wanita dan merampas pistol dipercayai ada kaitan dengan pembunuhan Ahmad Raffli.

Tangkapan itu susulan siasatan terhadap Harun yang ditahan bersama isteri serta anak lelakinya di Tangkak, Johor, pada 20 November lalu.



Sumber : MyMetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...