Wednesday 18 December 2013

Kerajaan Terengganu peruntuk RM15 juta mangsa banjir


KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu hari ini bersetuju mengagihkan bantuan RM1,500 bagi setiap rumah mangsa yang tenggelam dan rosak teruk akibat bencana banjir baru-baru ini. 

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, berkata kerajaan negeri menganggarkan sebanyak 10,000 rumah di seluruh Terengganu ditenggelami air, bermakna bantuan melibatkan peruntukan RM15 juta. 


"Di daerah Kemaman sahaja misalnya dianggarkan 8,000 buah yang terlibat dengan banjir. Jadi kami anggarkan ia melibatkan peruntukan keseluruhan kira-kira RM15 juta," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di sini. 

Beliau berkata, sebanyak RM500 pula akan diagihkan kepada setiap keluarga yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan berdaftar semasa banjir melanda negeri itu bermula 2 Disember lalu. 

Menurutnya mangsa banjir juga turut menerima bantuan daripada kerajaan pusat masing-masing RM500 bagi setiap keluarga. 

Ahmad berkata bantuan akan diberi berdasarkan kepada senarai mangsa banjir yang diperoleh dari pusat-pusat pemindahan. Senarai itu akan disemak semula dengan pengesahan pegawai daerah. 

Katanya, bantuan akan disalurkan pada Januari selepas kerajaan negeri mempunyai senarai lengkap serta pengesahan yang diperlukan.
Selain itu, katanya, kerajaan juga bersetuju untuk mengagihkan bantuan pakaian sekolah sebanyak RM100 bagi seorang murid atau maksimum RM300 bagi keluarga yang mempunyai anak yang bersekolah melebihi seorang. 

"Kami bagi bantuan ini bagi meringankan sedikit beban mangsa kerana banjir yang berlaku baru-baru ini menjejaskan pendapatan mereka apabila harta benda musnah sama sekali," katanya. 

Ahmad turut berkata kerajaan negeri juga meluluskan pembayaran bonus pada 1 Januari depan untuk kakitangannya minimum sebanyak RM500 atau setengah bulan gaji sama seperti kakitangan awam yang diumumkan kerajaan pusat sebelum ini. 

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...