Showing posts with label parlimen. Show all posts
Showing posts with label parlimen. Show all posts

Monday, 2 December 2013

Ketua Audit Negara: Kontraktor gagal siapkan pakej B Kolej TLDM

Ketua Audit Negara: Kontraktor gagal siapkan pakej B Kolej TLDM



 
KUALA LUMPUR: Kegagalan kontraktor asal menyiapkan projek pakej B pembangunan semula kompleks bangunan Kolej Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak telah menyebabkan kerajaan kerugian RM10.2 juta.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini, projek pakej B itu diberikan kepada syarikat Ijhraa Sdn Bhd pada 16 Dis 2009 dengan nilai RM41.46 juta.


Kontrak pakej B itu terdiri daripada pembinaan KD Pelandok merangkumi bangunan bilik kuliah, bangunan pengurusan hospitaliti dan kulinari, 'small arm simulator' dan bengkel ujian jentera, 'propulsion' dan 'simulator'.

Menurut laporan audit itu, pembayaran sebanyak RM8.73 juta telah dibuat kepada kontraktor asal tetapi Kementerian Pertahanan menamatkan kontrak itu setelah kontraktornya gagal menyiapkan projek berkenaan.

Berikutan kes itu, kerajaan terpaksa melantik kontraktor baharu, JJM Integrated Sdn Bhd pada 3 Oktober 2012 bagi meneruskan projek berkenaan, yang sepatutnya siap pada 20 Oktober 2013 dengan kos RM42.93 juta.

Projek ini telah dikategorikan sebagai projek sakit dan tindakan bagi mengatasinya menyebabkan kerugian berjumlah RM10.2 juta iaitu RM8.73 juta bayaran yang telah dibayar kepada kontraktor asal dan perbezaan antara kedua kontrak berjumlah RM1.47 juta," menurut laporan audit itu.

Laporan audit itu menyebut kerja menyiapkan projek itu berada pada 72.48 peratus pada September lepas.
Sementara itu, projek pembinaan kompleks markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan institut Pengurusan Krisis dan Bencana Negara (IPKBN) di Pulau Meranti, Puchong mengalami peningkatan kos sebanyak RM12.65 juta daripada kos asal RM77.59 juta, menurut laporan itu.

Ini berikutan perancangan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang lemah terhadap reka bentuk dan skop kerja, keadaan luar jangka di tapak pembinaan dan masalah kenaikan harga bahan binaan, menurut laporan audit.
Pembinaan kompleks SMART dan IPKBN dibahagikan kepada tiga fasa iaitu:
Fasa 1: pembinaan kuarters dan litar merempuh halangan
Fasa 2: bangunan markas SMART, rumah kelab dan surau
Fasa 3: bangunan IPKBN dan bangunan simulasi khusus bagi latihan kepakaran anggota SMART.

Selain itu kelewatan penyiapan Fasa 1 dan Fasa 2 projek itu oleh pihak kontraktor iaitu bagi Fasa 1 selama 353 hari yang mana projek yang siap hanya diserahkan kepada kerajaan pada 30 Jan 2009, dan bagi Fasa 2 selama 350 hari iaitu diserahkan kepada kerajaan pada 15 Jun 2010, daripada tarikh sepatutnya.

"Secara keseluruhannya prestasi pembinaan kompleks Markas SMART dan IPKBN adalah kurang memuaskan. Matlamat untuk menyediakan kemudahan latihan yang sempurna bagi anggota SMART juga masih belum dicapai disebabkan pembinaan Fasa 3 yang mengandungi bangunan simulasi untuk latihan kepakaran anggota SMART tidak diteruskan," menurut laporan itu. - BERNAMA




Sumber: BERITA HARIAN

Sunday, 1 December 2013

Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 Dibentang Hari Ini

Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 Dibentang Hari Ini

 
Kuala Lumpur: Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 Siri 3 akan dibentangkan di Parlimen hari ini.

Menurut kenyataan Ketua Audit Negara semalam, laporan itu adalah mengenai Penyata Kewangan dan Pengurusan Kewangan Tahun 2012 serta aktiviti Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri.


Menurut kenyataan itu, Jabatan Audit Negara akan memberi taklimat berhubung isu dibangkitkan dalam laporan kepada Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara di Parlimen.

Laporan itu antara lain mengandungi perkara Mengesahkan Penyata Kewangan pihak yang diaudit seperti 419 dari 458 penyata kewangan kerajaan dan agensinya telah diberikan Sijil Audit Tanpa Teguran.

“Sebanyak 23 penyata kewangan diberi Sijil Audit Berteguran kerana ada beberapa piawaian perakaunan yang tidak dipatuhi sepenuhnya.

“Baki 16 penyata kewangan masih dalam proses pengauditan,” menurut kenyataan itu.

Laporan Ketua Audit Negara turut menyentuh Prestasi Kutipan Hasil Persekutuan, antara lain Kerajaan Persekutuan telah mengutip hasil berjumlah RM207.9 bilion pada 2012, meningkat RM22.5 bilion berbanding RM185.4 bilion pada 2011.
Pengauditan prestasi

Laporan itu turut menyentuh Pengauditan Prestasi Terhadap Program/Aktiviti/Projek Kerajaan pada Peringkat Persekutuan dan Negeri.

Sebanyak 47 pengauditan prestasi dan 17 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan lagi telah dilaksanakan pada peringkat Persekutuan dan Negeri.

Perbendaharaan Malaysia juga mengeluarkan Laporan Maklum Balas terhadap Laporan Ketua Audit Negara 2012 Siri 3 dengan ulasan/tindakan oleh ketua perkhidmatan.

Kandungan laporan itu dan sinopsisnya boleh dilayari dalam Laman Web Jabatan Audit Negara di alamat http: //www.audit.gov.my mulai hari ini.

Sebarang pertanyaan lanjut dan pandangan mengenai laporan itu boleh dialamatkan kepada Warkah Untuk Ketua Audit Negara.

Mulai tahun ini, Laporan Ketua Audit Negara Mengenai Aktiviti Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri dibentangkan dalam tiga siri dengan Siri 1 dan 2 dibentangkan di Parlimen pada 1 Oktober lalu. - BERNAMA

Sumber - BERITA HARIAN
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...