Showing posts with label Rasuah. Show all posts
Showing posts with label Rasuah. Show all posts

Wednesday, 18 December 2013

Najib serah surat pelantikan kepada 24 panel bebas SPRM




PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menyampaikan surat pelantikan kepada 24 anggota tiga badan bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tiga panel bebas ini ialah Jawantankuasa Aduan, Panel Penilaian Operasi (PPO) dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) yang akan berfungsi sebagai mekanisme sekatan dan imbangan bagi memantau perjalanan SPRM. 

Anggota Jawatankuasa Aduan terdiri daripada bekas Hakimamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah Datuk Muhammad Mohd Nor, Datuk Wan Abdul Wahab Abdullah, Ravindran V Muthu dan Datuk Amar Wilson Baya Dandot. 

Amar Wilson merupakan anggota baharu Jawatankuasa Aduan yang dipengerusikan oleh Mohd Noor.


PPO pula terdiri daripada lapan anggota iaitu Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil sebagai pengerusi, Tan Sri Cecil Abraham, Datuk Dr Hamzah Kassim, Datuk Zamani Abdul Ghani, Datin Aminah Pit Abdul Rahman, Prof Dr Syed Noh Syed Ahmad, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff and Walter Doss Sandosam.

Sementara PPPR dianggotai oleh Datuk Johan Jaaffar sebagai pengerusi, Tan Sri Dr Lim Kok Wing, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk David Chua Kok Tee, Datuk Marimuthu Nadason, Datuk Dr Ishak Tambi Kechik, Datuk Prof Chin Yew Sin, Dr Zainal Abidin Abdul Majeed dan Syed Akbar Ali serta Datuk Zuraidah Atan dan Datin Wan Norhiyati Wan Ibrahim, kedua-duanya merupakan anggota baru PPPR.

Pelantikan anggota Jawatankuasa Aduan adalah bagi tempoh 2012-2015 ma nakala PPO dan PPPR adalah masing-masing bagi tempoh 2013-2015.

Menurut kenyataan yang diedarkan kepada wartawan, Jawatankuasa Aduan, PPO dan PPR merupakan tiga daripada lima badan pemantau bebas yang diwujudkan bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam keseluruhan perjalanan SPRM.

PPO dan PPPR diwujudkan secara pentadbiran manakala Jawatankuasa Aduan pula diwujudkan secara perundangan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Dua badan bebas lain ialah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah dan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah.

- BERNAMA

Monday, 2 December 2013

KETUA HAKIM NEGARA INGATKAN HAKIM DAN PEGAWAI KEHAKIMAN JAUHI RASUAH

KETUA HAKIM NEGARA INGATKAN HAKIM DAN PEGAWAI KEHAKIMAN JAUHI RASUAH
 
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria

PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria hari ini mengingatkan para hakim dan pegawai badan kehakiman supaya menjauhi rasuah dan mengelak diri dari tohmahan.

Beliau berkata ini kerana badan kehakiman memandang serius isu rasuah dan tidak mahu disebabkan segelintir yang mengamalkannya, seluruh badan kehakiman akan mendapat kesannya.


Arifin berkata banyak langkah pencegahan telah dikuatkuasakan sebagai usaha mengekang gejala rasuah dari merebak ke dalam institusi kehakiman.

"Proses pelantikan hakim dan pesuruhjaya kehakiman juga tidak terlepas daripada prosedur pencegahan rasuah. Penapisan rekod calon-calon ini akan dilakukan dengan merujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Insolvensi Malaysia," katanya.

Beliau berucap pada majlis mengangkat sumpah jawatan empat orang Pesuruhjaya Kehakiman di sini hari ini.

Mereka terdiri daripada Pendaftar Mahkamah Rayuan Malaysia Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali; Pengerusi Lembaga Penasihat Jabatan Perdana Menteri Datuk Ab Karim Ab Rahman; Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak Azhahari Kamal Ramli; peguambela dan peguamcara (Sabah) Mairin Idang @ Martin.

Arifin menegaskan penapisan rekod calon adalah bagi memastikan hakim dan pesuruhjaya kehakiman hanya dilantik dari kalangan individu yang mempunyai integriti yang tinggi.
Ketua Hakim Negara itu turut berkata beliau masih lagi mendengar desas-desus mengenai salah laku segelintir hakim dan pesuruhjaya kehakiman dan memberi jaminan setiap aduan yang diterima akan disiasat dengan rapi dengan pihak yang berwajib untuk memastikan kebenarannya.

Ditanya media kemudiannya mengenai salah laku itu, beliau berkata antaranya tidak menulis alasan penghakiman dan bercakap kasar di dalam mahkamah.

"Hakim dan pesuruhjaya kehakiman hendaklah lebih bersopan dengan orang awam semasa prosiding di mahkamah," katanya.

Beliau menjelaskan pada masa ini tidak ada aduan mengenai kes rasuah melibatkan hakim dan pesuruhjaya kehakiman.

"Kalau ada kita (badan kehakiman) akan menyerahkannya kepada pihak-pihak yang berkenaan," katanya.

Di dalam ucapannya, Arifin juga menasihati pegawai badan kehakiman supaya mempertahankan maruah dan integriti badan itu dan tidak sesekali mengambil tindakan yang boleh mencemarkannya hanya semata-mata tidak berpuas hati dengan sesuatu keputusan.

Beliau berkata seseorang hakim itu juga merupakan manusia biasa yang tidak sunyi daripada kesilapan.

Beliau menyarankan supaya rasa ketidakpuasan itu disalurkan melalui cara yang berhemah kerana badan kehakiman sentiasa bersifat terbuka terhadap sebarang kritikan.

"Namun ingin saya tegaskan di sini bahawa mahkamah memandang serius sebarang tindakan yang boleh mencemarkan maruah dan integritinya dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya.

Arifin juga menegaskan kuasa untuk menghukum pesalah kerana menghina mahkamah bukan bertujuan untuk melindungi seseorang hakim, sebaliknya ia berperanan untuk melindungi maruah institusi kehakiman.

Beliau berkata ini bukan bermakna mahkamah tidak boleh dikritik, tetapi kritikan itu hendaklah dibuat dengan tertib dan bukan bertujuan menghina mahkamah.

Ketua Hakim Negara itu juga menasihati hakim dan pegawai kehakiman supaya mengelak daripada membenarkan penangguhan kes dengan sewenang-wenangnya melainkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

"Perbicaraan secara beransur-ansur perlu dielak sama sekali. Begitu juga keputusan dan alasan penghakiman hendaklah dibuat secepat mungkin," katanya.

Menurut beliau ini kerana rayuan di Mahkamah Rayuan tidak dapat diteruskan tanpa alasan penghakiman dari Mahkamah Tinggi begitu juga rayuan di Mahkamah Persekutuan tidak boleh dijalankan tanpa alasan penghakiman dari Mahkamah Rayuan.

Arifin turut menasihati pegawai badan kehakiman untuk terus bekerja keras bagi memastikan kecemerlangan yang berterusan dan meningkatkan kecekapan sedia ada walaupun badan itu berjaya melupuskan kes-kes tertunggak melalui beberapa langkah yang telah dilaksanakan.

Beliau juga mengingatkan orang awam termasuk peguam supaya tidak sesekali membuat sebarang kenyataan yang boleh diterjemah sebagai satu desakan ke atas mahkamah semasa sesuatu kes masih lagi dalam proses pertimbangan mahkamah.

"Ini kerana kenyataan sedemikian mungkin akan mengganggu kebebasan badan kehakiman di dalam membuat keputusannya dan untuk kepentingan semua pihak badan itu hendaklah diberi ruang untuk membuat keputusan tanpa sebarang gangguan dari mana-mana pihak," jelasnya. - BERNAMA



Sumber : BERITA HARIAN
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...