Wednesday 4 December 2013

Norman Hakim Gian Berlakon Aksi Lasak



Selepas lima tahun tidak muncul dalam drama bersiri 'Gerak Khas', pelakon Norman Hakim kini kembali beraksi dalam drama kepolisan terbitan syarikat produksi Skop Production. Memulakan penggambaran sejak pertengahan Oktober lalu, Norman memberitahu berasa teruja apabila kembali melakonkan semula watak Aris yang dipegangnya selama tujuh tahun itu.

“Kalau dulu saya Cif Inspektor, kini saya dinaikkan pangkat menjadi Supritendan. Sebelum ini kita lihat watak Supritendan hanya duduk di pejabat, namun kali ini, saya juga kena turun padang. Secara jujur, saya rasa gian untuk melakukan babak pergaduhan serta aksi-aksi lasak dalam drama ini.

“Alhamdulillah, penglibatan dalam aktiviti kecergasan sedikit sebanyak membantu meningkatkan stamina saya sepanjang melakukan aksi-aksi lasak dalam drama ini. Kalau dulu saya cepat penat, namun selepas aktif ke gim sejak tiga tahun lalu, banyak perbezaan yang saya dapat rasa,” ujar Norman ketika ditemui pada sidang media drama terbarunya, ‘Vector 58’, baru-baru ini.

“Ini kali pertama saya berlakon dalam drama yang sepenuhnya berkonsepkan aksi sains fiksyen. Dalam drama ini, watak saya adalah bekas perisik yang juga merupakan bapa kepada heroin drama, Lia. Cabaran paling utama adalah untuk membayangkan aksi bersama robot kerana sewaktu penggambaran, watak itu memang tak ada. Saya banyak berlakon secara teknikal dan banyak tipu emosi. Imaginasi saya juga kena kuat bagi membayangkan robot itu benar-benar wujud.

Ia merupakan satu pengalaman peribadi yang baru buat saya dan terima kasih kepada syarikat produksi kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk berlakon dalam drama ini. Cetusan idea drama ini boleh dianggap dahsyat dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada Chain-Fx atas penghasilan Vector 58. Selepas tiga tahun, akhirnya idea ini terealisasi juga dan saya tidak sabar melihat hasil drama ini,” ujar Norman.

‘Vector 58’ merupakan drama bersiri 13 episod berkonsepkan aksi sains fiksyen terbitan syarikat kreatif yang arif dalam kesan visual, Chain-Fx Sdn Bhd. Drama yang dibintangi oleh Norman Hakim, Fazlina Ahmad Daud, Ain Satar, Ku Mohd Amirul, Nor Intan Bhaizura serta penampilan khas cameo seperti Nasha Aziz, Fauziah Ahmad Daud, Ridzuan Hashim, Dynas Mokhtar dan ramai lagi ini akan menemui penonton pada setiap Sabtu, jam 5.30 petang bermula 7 Disember ini hanya di TV9.

Sumber : Gua.com.my

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...